KSSR




Berita KSSR ( Keratan Dari Akhbar Berita Harian - 23 November 2013 )

KSSR Tahap II dilaksanakan

Putrajaya: Mulai 2014, Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) Tahap II akan dilaksanakan secara berperingkat bermula dengan murid Tahun 4 menerusi penggunaan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP).

Berbeza dengan KSSR Tahap I yang menggunakan Dokumen Standard Kurikulum (DSK), KSSR Tahap II akan memastikan kurikulum dan pentaksiran dilaksana seiring melalui DSKP bagi setiap unit pembelajaran supaya murid menguasai ilmu serta kemahiran yang ditetapkan sebelum melangkah ke tahun seterusnya. 
Pengarah Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia, Dr Masnah Ali Muda, berkata bagi mencapai hasrat itu, guru bagi Tahap II, iaitu dari Tahun 4 hingga 6 akan memberi penekanan kepada ‘pentaksiran untuk pembelajaran dan sebagai pembelajaran’ mengikut opsyen dan kompetensi masing-masing.

Beliau berkata, DSKP mengandungi tiga standard mengikut spesifikasi, termasuk Standard Kandungan iaitu penyataan spesifik mengenai perkara yang patut diketahui murid dan boleh dilakukan dalam suatu tempoh persekolahan merangkumi aspek pengetahuan, kemahiran serta nilai.

“Selain itu, DSKP mengandungi Standard Pembelajaran iaitu satu penetapan kriteria atau indikator kualiti pembelajaran dan pencapaian yang boleh diukur bagi setiap standard kandungan.

“Ketiga adalah Standard Prestasi iaitu satu set kriteria umum yang menunjukkan tahap penguasaan murid sebagai petunjuk bahawa sesuatu perkara itu sudah dikuasai,” katanya.

Tiga mata pelajaran baru

Justeru, berdasarkan kaedah itu, katanya, kementerian berhasrat murid benar-benar dapat menguasai kemahiran yang diharapkan dalam kurikulum.

Jelas Masnah, 449,887 murid akan mengikuti pembelajaran menggunakan KSSR Tahap II pada Tahun 4 bagi 2014 dan mereka adalah kumpulan pertama yang mengikuti KSSR bermula Tahun 1 sejak diperkenalkan pada 2011.

“Selain itu, tiga mata pelajaran baru akan diperkenalkan melalui KSSR Tahap II, iaitu Reka Bentuk dan Teknologi (RBT)/ Teknologi Maklumat & Komunikasi (TMK) dan Sejarah.

“Selain itu, mata pelajaran elektif turut ditawarkan membabitkan bahasa ibunda termasuk Bahasa Arab, Bahasa Cina SK, Bahasa Tamil SK, Bahasa Iban, Bahasa Kadazandusun dan Bahasa Semai,” katanya.

Masnah menjelaskan, penambahan mata pelajaran bagi Tahap II, selain mata pelajaran sedia ada itu sejajar dengan pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.


Kursus, latihan untuk guru

Katanya, bagi memastikan keberkesanan KSSR, guru akan terus diupayakan melalui kursus dan latihan, terutama bagi subjek kritikal seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains serta Sejarah.

Pada masa yang sama, bagi memastikan guru dapat menterjemahkan hasrat yang ditetapkan pada kurikulum itu, kementerian akan memantau perkembangan pencapaian pengajaran guru dari semasa ke semasa.

“Ini bagi memastikan kurikulum bertulis diterjemahkan dengan betul dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah melalui sumber pengajaran yang lebih baik.

“Dokumen kurikulum ini boleh menjadi satu pelan yang komprehensif tetapi perlu pula diterjemahkan dengan bijak oleh penyampai iaitu guru dalam bilik darjah dan proses ini dinamakan pedagogi, boleh atau tidak, seseorang guru itu perlu mentafsir keperluan murid mereka, golongan ini yang hanya boleh mentafsir sejauh mana pencapaian atau penguasaan murid mereka terhadap sesuatu mata pelajaran.


Pelaksanaan lancar


“Walaupun kementerian ada menyediakan bantuan latihan teknikal bagi membantu guru membuat tafsiran atau meningkatkan kemahiran P dan P mereka tetapi guru mesti berkemampuan dan berilmu untuk mengerakkan sistem pembelajaran yang sudah ditetapkan ini,” katanya.

“Kementerian berhasrat dengan kaedah ini, murid-murid betul-betul menguasai kemahiran yang dihasratkan oleh kurikulum kerana kita tidak mahu anak-anak yang belum dapat menguasai bertutur, misalnya, secara automatik terus naik ke Tahun 3 atau Tahun 4.

“Kita tidak mahu senario seperti ini berlaku, oleh itu, kita beri penekanan kepada Dokumen Standard Kurikulum Dan Pentaksiran untuk memastikan setiap murid dapat dilanjutkan kepada peringkat berikutnya apabila mereka sudah dapat menguasai ilmu dan kemahiran yang dihasratkan,” katanya.

Pada masa sama juga, katanya, di bawah kurikulum itu juga, tidak akan ada penekanan terhadap pencapaian indikator A sebaliknya hanya menggunakan Band – tahap penguasaan satu (1) hingga enam (6) yang mana membahagikan pencapaian murid dan bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar, kementerian akan memantau perkembangan itu dari semasa ke semasa.



SOALAN -SOALAN LAZIM TENTANG KSSR

Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Bahagian Pembangunan Kurikulum ( BPK ) telah mengeluarkan sejumlah soalan-soalan yang berkaitan dengan pelaksanaan KSSR dalam sistem persekolahan negara ini. Jawapan-jawapan dari soalan-soalan yang ditimbulkan diharap dapat merungkai kekeliruan dan ketidakfahaman tentang KSSR. Klik url di bawah:

http://web.moe.gov.my/bpk/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=339%3Afaq-kssr&catid=107%3Apenggunaan-laman-web&Itemid=442&lang=ms